1. ADAKAH boleh ditetapkan awal Ramadhan
melalui kiraan falak?
Dr. Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin
al-Subki, salah seorang ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila
kiraan falak menyatakan kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata,
maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.
Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah
pandangan Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang
ulama’ hadis, Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu
Sarij yang mentafsirkan hadis:
·
“Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari
melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka
lakukanlah kiraan turun naik bulan.”
Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh
dijadikan sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan.
Dengan itu jika ahli falak mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan
Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan
orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat
Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.
Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda
Rasulullah s.a.w.:
·
“Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.”
Beliau menafsirkan hadis tersebut sebagai
keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah s.a.w., awal Ramadhan ditentukan
dengan melihat anak bulan.
Adapun hadis:
·
“Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah
apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari
Sya’ban.”
Beliau mentafsirkan hadis ini berdasarkan
kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan matlamat yang tetap dan wasilah yang
boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang
berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara
yang lebih baik dari persaksian mata, maka wasilah itu diterima. Kiraan falak
di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata.
2. Apakah hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan
(tahun hijrah) dan bukannya pusingan matahari (tahun Masehi)?
Dr. Yusof al-Qardhawi menerangkan bahawa di
antara hikmah puasa tersebut diwajibkan berdasarkan pusingan bulan:
·
1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga
hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddahseorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.
·
2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan
kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.
·
3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas
atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim
kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas
terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu
siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada
Tuhan dalam setiap keadaan.
3. Adakah puasa tetap sah jika seseorang
melakukan maksiat ketika dia sedang berpuasa?
Dr. Yusof al-Qardhawi menolak pandangan
Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat akan membatalkan puasa seseorang
seperti makan dan minum. Walau pun begitu beliau mengatakan bahawa maksiat yang
dilakukan oleh seseorang yang berpuasa akan menghilangkan hasil yang diharapkan
dari puasa tersebut.
Dengan itu yang terbaik adalah seseorang
itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa salafussoleh yang menjaga diri
bukan sahaja dari makan dan minum tetapi sebaliknya dari perkara-perkara haram
dan melalaikan.
4. Adakah wujud sebenarnya ‘waktu imsak’?
Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz
Ibnu Hajar yang berkata:
·
“Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari
ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan
Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang
yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam
ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak
mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak
azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka
melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan
yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”
Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa
‘waktu imsak’ tersebut adalah suatu yang tidak perlu kerana ulama’ silam makan
dan minum sehingga azan Subuh berkumandang.
5. Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang
yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?
Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa
seorang bermusafir boleh berbuka puasa walau pun perjalanan yang ditempuhi itu
tidak memberikan apa-apa masyaqqah(keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah(sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan
bukannyamasyaqqah (keberatan dan beban).
Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?
Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa
kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir
itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.
·
(i) Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk
berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak
perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk
berpuasa.
·
(ii) Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian
menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa
lebih afdhalbaginya.
6. Bilakah waktu berbuka bagi seseorang di
dalam pesawat?
Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa
waktu berbuka puasa bagi seseorang yang berada di dalam pesawat tidak sama
dengan waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di atas daratan. Kesilapan
sering dilakukan oleh peramugari dan juruterbang yang mengisytiharkan masuknya
waktu Maghrib berdasarkan waktu di daratan.
Beliau mengatakan bahawa sebagaimana waktu
Maghrib berbeza dari satu tempat berbanding tempat yang lain disebabkan oleh
perbezaan kedudukan tempat tersebut (garis lintang dsb) di atas muka bumi,
begitu juga waktu Maghrib berbeza berdasarkan ketinggian. Kemungkinan waktu
Maghrib sudah masuk bagi penduduk satu-satu bandar , tetapi bagi penduduk yang
tinggal di tempat tinggi di bandar yang sama masih lagi dapat melihat cahaya
matahari dengan jelas.
Inilah juga fatwa Ibnu Abidin, salah
seorang ulama’ mazhab Hanafi:
·
“Sesiapa yang tinggal di kawasan yang tinggi seperti menara
Iskandariah, beliau tidak boleh berbuka selagi tidak tenggelam matahari di
tempatnya, manakala bagi penduduk negeri tersebut boleh berbuka jika matahari
telah tenggelam di tempat mereka. Begitulah juga halnya dengan terbit matahari
bagi sahur dan solat Subuh.”
7. Bilakah malam Lailatul Qadr?
Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa
tidak ada pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa
terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.
Apa yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari
bulan Ramadhan. Pendapat yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam
ganjil dan kemungkinan tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun
berikutnya.
Jika Ramadhan tahun itu 30 hari, maknanya
10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika Ramadhan tahun itu 29
hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 20.
8. Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan di
awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang diamalkan
oleh sebahagian umat Islam)?
Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan
pandangan Imam Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata:
·
“Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan
kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”
Dr. Yusof al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada
hari ini jauh lebih luas dan lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah
s.aw. Ditambah pula jika zakat itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan
atau mana-mana badan swasta, sudah tentulah ia memerlukan masa untuk
menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul dapat memenuhi keperluan si
penerima zakat di hari Raya nanti.
9. Bolehkah wang menggantikan beras atau
gandum di dalam zakat fitrah?
Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah
tidak membenarkan beras atau gandum tersebut diganti dengan wang tunai. Dr.
Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.
Di antara hujah yang diberikan oleh Dr.
Yusof al-Qardhawi:
·
(i) Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan
dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang
pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai
·
(ii) Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan
sukatan makanan lebih mudah untuk diukur
Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan
bahawa bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi
keperluan penerima zakat. Apa yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan
penerima zakat kerana kerana wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya
kepada makanan sahaja sebaliknya boleh digunakan untuk membeli pakaian,
keperluan Ramadhan dan keperluan hari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan