Berita gembira semperna kelahiran Muhammad S.A.W
|
Apabila
tiba saat Abdullah mahu dikahwinkan, Abdul Muttalib mengahwinkan Abdullah
dengan Aminah binti Wahab, yang juga daripada keturunan suku Abdul Manaf.
Keturunan ayah dan ibu Muhammad adalah daripada Qusai bin Kilab. Kesemua
mereka daripada keturunan Ismail. Daripada sudut keturunan pun, Muhammad bin
Abdullah adalah orang paling mulia dan paling bangsawan.
Keluarga Siti Aminah tinggal di Yathrib atau Madinah.
Abdul Muttalib membawa anaknya Abdullah ke Yathrib dan dikahwinkan di sana
dengan Siti Aminah. Selepas itu, mereka pulang ke Mekah. Semasa Siti Aminah
mengandung, ayah Muhammad meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan lagi.
Sebelum Aminah melahirkan Muhammad, dia bermimpi melihat
dirinya melahirkan seorang anak lelaki yang lahir bersama satu cahaya yang
memenuhi bumi. Siti Aminah juga melihat dirinya berdoa kepada Tuhan:
"Aku berlindung kepada Tuhan yang Esa supaya diselamatkan anak ini daripada
semua orang yang dengki." Kelahiran ini adalah pada hari Isnin 12
Rabiulawal Tahun Gajah atau mengikut ahli sejarah sejarah 50 hari selepas
peristiwa tentera gajah.
Peristiwa pelik keputeraan
Muhammad
Banyak perkara yang pelik berlaku semasa kelahiran Muhammad.
Hasan bin Thabit, penyair Muhammad menceritakan, salah satu daripada tanda
itu, katanya semasa Muhammad lahir, dia berada di Madinah dan umurnya pada
masa itu tujuh tahun.
"Pada hari itu, aku berada dalam majlis orang-orang
Yahudi Madinah. Seorang ulama Yahudi memanjat ke atas bumbung rumahnya sambil
menjerit kepada semua orang: 'Bintang Ahmad muncul di langit.'"
Bintang ini hanya muncul apabila Muhammad dilahirkan.
Hasan menyaksikan sendiri peristiwa itu.
Siti Aminah ibu Muhammad bin Abdullah pernah memberitahu,
semasa dia mengandungkan Muhammad, dia tidak merasa penat ataupun sakit.
Menurut sejarah lagi, Muhammad dilahirkan dalam keadaan sujud dan sudah
berkhatan.
Apabila berita kelahiran ini sampai kepada Abdul Muttalib,
beliau terlalu gembira. Apabila dia mendengar cerita-cerita tadi, dia
bertambah gembira. Pada masa itu, Abdul Muttalib sudah menyebut anak ini akan
mempunyai masa depan yang besar. Oleh kerana terlalu gembira, Abdul Muttalib
terus membawa Muhammad ke dalam Kaabah sambil bersyukur kepada Tuhan.
Ulama Yahudi
Nama Muhammad diberikan oleh Abdul Muttalib. Pada suatu
masa, Abdul Muttalib pernah mengembara ke negeri Syam dengan tiga orang
sahabatnya. Mereka bertemu dengan ulama Yahudi di Syam. Rahib ini bercerita
kepada mereka, akan lahir seorang nabi di Mekah yang bernama Muhammad.
Selepas itu, apabila pulang, keempat-empat mereka berazam menamakan anak
mereka Muhammad. Dari sinilah Abdul Muttalib menamakan cucu lelaki daripada
anak kesayangannya itu dengan nama Muhammad. Sebelum itu, orang-orang Arab
tidak ada yang bernama Muhammad.
Antara perkara pelik yang berlaku semasa kelahiran
Muhammad juga adalah bergegarnya Iwan Kisra iaitu istana Raja Farsi, kerajaan
yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana
runtuh dan api yang sudah disembah oleh Majusi sejak beribu-ribu tahun yang
tidak pernah padam sebelum ini terpadam. Gegaran itu juga menyebabkan tasik
yang bernama Tasik Sawwah yang berdekatan dengan istana Raja Farsi tertimbus.
Apabila kisra iaitu Raja Farsi melihat kejadian-kejadian
pelik ini dia menjadi sangat takut, lalu memanggil ahli-ahli nujum dan
pendeta-pendetanya yang dapat berhubung dengan jin. Jin-jin sebelum kelahiran
Muhammad boleh naik ke langit dan mendengar berita di langit apa yang akan berlaku
di dunia. Merekalah yang memberitahu berita-berita ini kepada pendeta-pendeta
dan ahli-ahli nujum. Dari sinilah para pendeta dan ahli nujum membuat ramalan
mereka.
Allah berfirman dalam surah al-Jin ayat 9 yang bermaksud:
"Kami para jin sebelum ini mempunyai tempat untuk mendengar berita di
langit, barang siapa yang mencuri mendengar lagi sekarang akan dipanah."
Ada antara pendeta ini menyebutkan pada kisra, peritiwa ini berlaku kerana
kelahiran seorang nabi.
Kisra bertanya maksud 14 anjung istana kisra yang runtuh.
Mereka berkata: "Kerajaan Farsi akan diperintahkan oleh 14 orang kisra
lagi dan selepas itu kerajaan Farsi akan jatuh." Kisra berkata:
"Empat belas orang kisra lagi memaparkan tempoh yang panjang, masih lama
lagi, tidak perlulah dirisaukan."
Selepas kematian kisra ini, anak-anaknya berebut kuasa.
Dalam masa empat tahun sahaja, 10 orang kisra memerintah Farsi. Semua ini
petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu iaitu kerajaan
Farsi. Inilah antara berita gembira yang berlaku sempena kelahiran Muhammad.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan